PUTRAJAYA – Cadangan bagi membolehkan rakyat memilih vaksin tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana dibimbangi akan melambatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Perkara itu dijelaskan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, buat masa ini, kerajaan memutuskan vaksin kepada penerima hanya diberikan berdasarkan bekalan semasa yang ada.
“Melihat kepada situasi semasa penularan Covid-19 ketika ini, lebih baik dari segi kesihatan awam, kita bagi apa sahaja yang ada. Kalau kita nak bagi pilihan, ini akan melambatkan lagi proses vaksinasi kebangsaan.
“Sebelum ini, saya ada memaklumkan cadangan untuk pertimbangkan kemudahan pilihan vaksin itu, namun apabila dalam tempoh saya umumkan cadangan itu dipertimbangkan, sehingga hari ini kes meningkat dengan sangat mendadak,” katanya.
Pada sidang akhbar sebelum ini, Khairy Jamaluddin pernah memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memberi kemudahan kepada rakyat memilih vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
Sejak PICK dilaksanakan Februari lalu, penerima vaksin tidak diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin yang akan diterima sebaliknya ia sudah ditentukan berdasarkan bekalan sedia ada.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi pemberian vaksin jenis AstraZeneca memandangkan ia ditawarkan secara sukarela kepada penduduk di Lembah Klang dan tiga negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan Sarawak