KOTA BHARU – Sebatang pokok tanjung berusia puluhan tahun yang terletak di Kompleks Niaga Melor di sini tumbang dalam kejadian ribut dan angin kencang petang tadi.
Pokok yang terletak di sebuah taman permainan tumbang kira-kira pukul 3 petang itu dan menimpa dua buah kereta dan beberapa buah premis di kawasan tersebut.
Komander Pasukan Tindakan Kecemasan, Angkatan Pertahanan Awam Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu Nik Saiful Adli Burhan berkata, dua pegawai dan enam anggota sukarelawan APM bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, selain dua buah kereta jenis Proton Wira dan Perodua Viva, sebahagian besar daripada empat blok bangunan kedai rosak terutamanya bahagian bumbung.
“Tiga buah gerai turut roboh dan beberapa bahagiannya diterbangkan angin. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
“Pokok itu turut menimpa kabel elektrik dan telefon sehingga mengakibatkan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik. Lampu isyarat di persimpangan Melor di sini didapati tidak berfungsi selepas kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. – K! ONLINE