fbpx

Perkhidmatan bas Rapid Kamunting tamat 15 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkhidmatan bas Rapid Kamunting akan ditamatkan pada 15 Jun ini ekoran terpaksa beroperasi dalam kerugian ekoran kekurangan penumpang selain terkesan dengan impak Covid-19.

PETALING JAYA – Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) yang mengendalikan perkhidmatan bas Rapid Kamunting di Perak hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan bas berkenaan pada 15 Jun ini selepas beroperasi selama lebih lima tahun.

Rapid Kamunting merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping dan Prasarana dengan perkhidmatan melibatkan tiga laluan iaitu Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana ke Kampung Boyan).

Rapid Bus dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal perkhidmatannya.

“Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019 dan selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting.

“Bagaimanapun Rapid Bus telah meneruskan komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Rapid KL hari ini.

Tambahnya, Rapid Kamunting tidak terkecuali menerima impak Covid-19 dengan kemerosotan jumlah penumpang yang hanya mencapai 30 peratus dan keadaan yang semakin meruncing itu menyebabkan pihak mereka berdepan cabaran getir untuk menampung kos pengoperasian.

Menurutnya, ia bukanlah keputusan yang mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan Rapid Bus.

“Rapid Bus memohon maaf kepada pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan semua pelanggan kami dan juga atas sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI