fbpx

Penyeludup dadah mati, rampas dadah RM3.33juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamaruszaman menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya. -Foto ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Seorang lelaki orang asli yang merupakan penyeludup dadah mati dipercayai selepas bot dipandunya bertembung dengan bot Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian di 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, suspek berusia 70 tahun meninggal dunia di bot ketika cuba menyeludup 56 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

Turut ditahan dua lagi suspek iaitu anak perempuannya dan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia 24 dan 40 tahun. Sementara, seorang anggota APMM berpangkat Laskar Kanan berusia 35 tahun cedera di bahagian bahu dan rusuk selepas dipukul menggunakan sauh bot.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, sebelum kejadian anggota APMM Selangor yang sedang melakukan penyamaran menerusi Ops Belangkas telah mengesan bot gentian kaca tidak mempunyai nombor pendaftaran dinaiki ketiga-tiga suspek menuju ke arah perairan Pulau Ketam.

Katanya, anggotanya kemudiannya memberikan isyarat lampu berkelip-kelip sebelum bot suspek merapati bot APMM.

“Seorang anggota APMM telah melompat ke dalam bot suspek dan mengarahkan bot suspek berhenti namun tidak mendapat kerjasama dan terus melarikan diri.

“Berlaku adegan kejar dengan anggota yang berada dalam bot suspek telah melepaskan tembakan amaran ke udara. jurumudi warga emas telah bertindak memukul anggota itu menggunakan sauh mengenai bahu dan rusuk kiri,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, anggota tersebut tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan mengenai pendikit bot suspek yang menyebabkan bot berkenaan menjadi pelahan.

Tambah Kamaruszaman, sejurus itu berlaku pelanggaran antara bot suspek dan bot APMM sehingga mengakibatkan bot suspek tenggelam di lokasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui empat guni yang masing-masing mengandungi 31 kg syabu dan 25kg pil ekstasi bernilai RM3.33juta.

“Kita mempercayai mereka dalam perjalanan ke perairan sempadan Indonesia untuk penghantaran dadah,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya turut menyerbu rumah suspek yang mati tersebut di Tanjong Harapan dengan dipandu arah  anak perempuannya sebelum menemui 1kg syabu.

Suspek perempuan tersebut merupakan janda dan mempunyai lima orang anak berusia 11 hingga 21 tahun dan bekerja sebagai pekerja pembersihan.

“Berdasarkan dadah yang dirampas ia dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 100,000 penagih.

“Ini adalah kejadian pertama melibatkan orang asli sebagai penghantar dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI