GOPENG – Aktiviti berkayak seorang pemuda bertukar tragedi apabila dia ditemui lemas selepas tersangkut pada celah batu di Ulu Geruntum di sini petang tadi.
Mangsa berusia sekitar 20-an yang bertugas sebagai pelatih di sebuah kem di situ dikatakan sedang melakukan aktiviti berkayak secara bersendirian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa berkata, kejadian tersebut disedari rakan mangsa selepas terlihat dia tiada di dalam kayak yang dinaikinya.
“Rakannya itu kemudian terlihat tangan mangsa dan cuba mengeluarkannya yang tersepit di celahan batu tetapi tidak berjaya lalu menghubungi talian kecemasan.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng tiba di tempat kejadian pada pukul 4.06 petang untuk melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati, mangsa berada pada jarak lima kilometer dari permukaan di Kuala Razila.
“Keadaan kaki mangsa yang tersangkut pada celah batu jeram menyukarkan operasi menyelamat,” katanya. – K! ONLINE