PETALING JAYA – Pelakon era 1960-an Toh Puan Julie Faridah @ Joria Basir meninggal dunia selepas dua minggu dimasukkan ke Hospital Pantai Ipoh, Perak, semalam.
Dalam satu kenyataan kepada Persatuan Seniman (Seniman), seorang anaknya, Aziah Jasmin berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.37 pagi semalam akibat jangkitan virus (bukan Covid-19) di sisi tiga orang anaknya.
Sejurus disahkan meninggal dunia, jenazah Julie Faridah dimandikan dan dikafankan di rumahnya di Jalan Watson, Ipoh sebelum dibawa ke perkarangan Masjid Dato’ Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan dengan pusara suaminya sekitar pukul 11 pagi semalam.
Allahyarham yang berusia 77 tahun meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.
Julie Faridah juga merupakan besan kepada Sultan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana anak lelakinya, Mohammad Yaakob berkahwin dengan anak bongsu Tuanku Raja Perlis, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza.
Terdahulu, arwah yang dilahirkan pada 25 November 1944 di Bentong, Pahang terkenal dengan watak sebagai Faridah menerusi filem Keluarga 69 arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1967.
Selepas berkahwin, Allahyarham mengambil keputusan untuk tidak lagi aktif berlakon kerana mengikut arwah suaminya, Datuk Sri Azizul Hassan yang tertugas sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia. – K! ONLINE