fbpx

Pelajar IPT diminta tangguh perjalanan balik kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang masih belum pulang ke kampus masing-masing diminta untuk menangguhkan pergerakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara esok.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pelajar bekeperluan itu harus kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Kenyataan itu berkata, pelajar berkeperluan yang telah berada di kampus pula diminta untuk terus kekal berada di kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan manakala aktiviti penyelidikan melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja serta secara individu dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut SOP ketat.

“Pelajar luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal dan peralatan khas perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KPT berkata, para pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dibenarkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.

Katanya, penjadualan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional itu diuruskan sepenuhnya oleh organisasi profesional dan antarabangsa.

“IPT hanya membuat penyelarasan dari segi kemudahan fasiliti sahaja. Sebarang perubahan dari segi penjadualan adalah tertakluk kepada organisasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, KPT berkata, kemasukan pelajar antarabangsa tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) dari semasa ke semasa.

Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 038870 6777/6949/ 6623/ 6628 selain melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI