KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menulis surat kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi menyiasat dakwaan kewujudan kartel dalam PDRM sepertimana yang pernah didakwa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menulis surat kepada suruhanjaya itu supaya mengambil alih isu kartel dan sekali gus menjalankan siasatan segera.
“Bukit Aman tidak boleh menyiasat isu kartel kerana ia hanyalah satu tohmahan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan utama negara kita.
“Saya serius dan sedia maklum berkenaan dakwaan isu kartel dalam PDRM, jadi saya pelawa EAIC untuk menyiasat perkara ini dengan segera dan mereka sedang meneliti permintaan kita dalam hal ini,” ujarnya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Tegasnya, PDRM sememangnya tidak boleh menyiasat isu berkenaan memandangkan ia berbentuk tohmahan.
“Hanya pihak ketiga yang boleh siasat dan membuat keputusan, tambahan lagi EAIC merupakan satu suruhanjaya bebas dan mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengendalikan hal ini.
“Kita ‘Hands Off’ (angkat tangan) dalam perkara ini, biar mereka (EAIC) datang dan siasat secara telus kerana dari dulu hingga sekarang PDRM merupakan anggota masyarakat,” ujarnya. – K! ONLINE