fbpx

Hanya 12 jemaah dibenarkan di masjid, surau Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Hanya 12 orang termasuk imam dibenarkan untuk solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau seluruh negeri ini dalam tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa esok hingga 14 Jun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, perkara itu dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Mohd. Yusop, solat Jumaat dibenarkan di masjid dan surau diri Jumaat sahaja dengan bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah sahaja.

“Untuk solat fardu pula dibenarkan di masjid dan surau dengan bilangan jemaah seramai 12 orang sahaja termasuk imam, pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

“Manakala solat jenazah bagi yang meninggal dunia di rumah tertakluk kepada pilihan ahli keluarga sama ada diadakan dirumah, surau atau masjid dengan bilangan jemaah juga 12 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Yusop turut memaklumkan bahawa semua program mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini ditangguhkan dan aktiviti pengurusan dilaksanakan secara maya atau atas talian.

“Sultan Perak turut bertitah agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan mengambil tanggungjawab membantu usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan.

“Baginda turut menyeru rakyat menunjukkan simpati kepada para petugas barisan hadapan, yang berada dalam keletihan terutama petugas kesihatan dengan mematuhi SOP yang tetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI