fbpx

Enam pesakit Covid-19 meninggal dunia di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahmad

MELAKA – Negeri ini merekodkan enam kes kematian pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah atau Brought In Dead (BID).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan perkara tersebut, namun memaklumkan pihaknya tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai kejadian berkenaan.

“Setakat ini Melaka merekodkan enam kes mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan sudah meninggal dunia atau BID akibat jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun saya tidak mempunyai maklumat termasuk masa, lokasi dan umur mangsa yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini, hari ini.

Tambahnya, setakat ini terdapat seramai 439 individu positif Covid-19 melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Mengulas lanjut mengenai keadaan semasa pusat rawatan, beliau memberitahu, jumlah kapasiti katil bagi pesakit Covid-19 hampir mencecah 100 peratus.

“Kita telah menyediakan 334 buah katil untuk pesakit Covid-19 dan kini kapasiti katil telah mencecah 86.8 peratus dengan jumlah pesakit seramai 290 orang.

“Bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, kita mempunyai 114 katil dengan 55 daripadanya telah dipenuhi oleh pesakit Covid-19. Seramai 11 pesakit juga kini menggunakan alat bantuan pernafasan,”katanya.

Ujarnya, jumlah pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula kini mencecah kapasiti 79.6 peratus dengan melibatkan seramai 888 pesakit.

“Dalam tempoh sembilan hari sejak PKRC di Melaka International Trade Centre (MITC) dibuka, jumlah pesakit yang dkitempatkan di situ telah mencecah seramai 853 orang. Sebanyak 613 kes pula masih menunggu penempatan.

“Jumlah bagi kes Covid-19 ini semakin meningkat, malah setiap hari kita mempunyai kes tertangguh sebanyak lebih 1,000 kes bagi ujian saringan.

“Saya khuatir negeri ini sedang menghampiri situasi di mana kita terpaksa memilih untuk menyelamatkan mereka yang berisiko rendah sahaja. Jadi, saya nasihatkan agar rakyat negeri ini khususnya untuk mematuhi sebaiknya prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI