MANCHESTER – Pemain sayap, Raheem Sterling dilaporkan menjadi pemain yang berada dalam senarai teratas Manchester City untuk dilepaskan pada musim panas nanti.
Pengurus pasukan itu, Pep Guardiola dikatakan mahu membentuk pasukan yang lebih segar musim depan terutama selepas mereka gagal menjulang gelaran Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Chelsea 0-1 awal pagi semalam.
Ketika saingan liga memasuki fasa terakhir musim ini, Sterling dilihat kehilangan tempatnya dalam skuad The Citizens dan pasukan itu sudah bersedia mendengar sebarang tawaran untuk pemain berusia 26 tahun tersebut.
Selain Sterling, City juga tidak keberatan untuk melepaskan seorang lagi pemain tonggak mereka, Riyad Mahrez jika kena dengan harganya walaupun bekas pemain Leicester City itu berjaya mempamerkan aksi cemerlang musim ini.
Selain itu, dua lagi pemain mereka iaitu penyerang, Gabriel Jesus dan pemain pertahanan, Aymeric Laporte juga berada dalam senarai yang mungkin akan dilepaskan oleh Guardiola.
Arsenal dilaporkan berminat untuk mendapatkan Sterling dan Mahrez tetapi kemampuan kewangan pasukan yang berpangkalan di utara London itu untuk mendapatkan kedua-dua pemain tersebut menjadi persoalan.
City juga mungkin tidak berdepan kesukaran untuk menjual Sterling apabila dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona sudah lama mengidamkan khidmatnya sebelum ini.
Juara Liga Perdana Inggeris itu dilaporkan terdesak untuk menjual beberapa pemain mereka untuk mengumpul dana bagi mendapatkan dua pemain sasaran mereka iaitu Jack Grealish dan Harry Kane yang mana kedua-dua mereka mampu mencapai nilai lebih £200 juta (RM1.17 bilion). – AGENSI