fbpx

Cemburu punca lelaki tembak kereta bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta wanita tersebut yang dipercayai ditembak bekas suaminya semalam.

KOTA BHARU – Gara-gara cemburu buta selepas bekas isterinya sudah berkahwin lain, seorang peniaga sanggup menembak cermin kereta yang dipandu wanita itu bersama tiga anak mereka di Lorong Bayam Pinggir, Tapang dekat Jalan Hospital di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 petang itu, suspek dipercayai menembak bahagian cermin belakang tempat duduk penumpang kereta jenis Kia Rio milik bekas isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, siasatan mendapati, kereta yang dipandu mangsa bersama anak-anak yang berusia 3, 5 dan 13 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka telah diekori oleh kereta suspek.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta wanita yang juga merupakan seorang peniaga itu dipercayai telah ditembak selepas dia mendengar bunyi satu das tembakan pada bahagian cermin belakang.

“Mangsa tidak nampak sebarang senjata api yang digunakan suspek dan hanya mendengar bunyi seakan tembakan sehingga menyebabkan cermin kanan bahagian belakang telah pecah.

“Wanita itu dapat mengecam bekas suaminya yang melakukan perbuatan berkenaan berdasarkan kereta yang digunakan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Wan Khairuddin, bagaimanapun, mangsa dan tiga orang anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Katanya, siasatan terhadap kereta mangsa mendapati terdapat lubang dan kesan retak akibat daripada tembakan itu.

Katanya, setakat ini, polis masih belum dapat membuat sebarang pengesahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengenai jenis senjata api atau lain-lain senjata yang digunakan oleh suspek.

“Ini kerana, orang ramai di sekitar tempat kejadian tidak mendengar sebarang bunyi tembakan. Selain itu, suspek juga tidak mengaku menggunakan senjata api untuk menembak mangsa.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia dan bekas suaminya berpisah setahun lalu. Lelaki itu bertindak sedemikian selepas dipercayai cemburu apabila bekas isterinya sudah berkahwin lain,” katanya.

Kata Wan Khairuddin, sehubungan dengan itu, polis telah menahan suspek di rumahnya di sini pagi tadi untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan bunuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI