PETALING JAYA – Harga untuk melakukan ujian calitan Covid-19 khususnya melibatkan fasiliti kesihatan swasta yang berbeza dan mahal menyebabkan ramai rakyat enggan melakukan saringan itu sekali gus menjadi risiko penyebaran virus berbahaya itu.
Berdasarkan pemerhatian Kosmo! semalam, kebanyakan klinik dan pusat perubatan swasta menetapkan caj bagi ujian jenis Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) adalah antara RM250 hingga RM350.
Bagi teknik Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) yang menggunakan kit ujian pula, kadar yang dikenakan sekitar RM100 hingga RM120.
Kos ujian RT-PCR lebih mahal berbanding RTK-Ag berikutan sampel calitan perlu dihantar ke makmal untuk dikaji sebelum keputusan dikeluarkan dan ketepatannya terjamin berbanding RTK-AG.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, harga ujian calitan Covid-19 yang tidak selaras dan mahal menyebabkan individu yang mungkin berisiko atau bergejala akan teragak-agak untuk melakukan saringan.
“Tidak semua orang mampu untuk menjalani saringan dan tidak ramai juga yang tahu di mana klinik yang ada menawarkan harga berpatutan untuk melakukan ujian itu.
“Kerajaan perlu segera menyelaraskan dan mengawal harga ujian calitan ini supaya rakyat tidak akan terbeban sekali gus menarik minat mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan jika mengalami simptom Covid-19,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, orang awam juga diminta memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat klinik yang meletakkan harga ujian calitan yang terlalu mahal.
“Ini bukanlah masa untuk mencari wang, ramai orang telah hilang pendapatan akibat wabak pandemik ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, harga ujian calitan perlu diselaraskan di seluruh negara bagi membolehkan saringan Covid-19 diadakan secara besar-besaran.
Katanya, penyelarasan harga itu juga membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya golongan B40 menjalani ujian Covid-19 jika bergejala.
“Ketika ini, ramai rakyat mengeluh ekoran harga kurang munasabah yang ditawarkan bagi ujian calitan sama ada jenis RTK-Ag atau RT-PCR.
“Selain itu, penawaran harga yang berbeza di setiap klinik bagi ujian terbabit turut mengundang pelbagai persoalan mengapa ada klinik mampu menawarkan harga murah berbanding yang lain,” ujarnya.
Mohd. Yusof berkata, perbezaan harga turut menyebabkan rakyat yang mempunyai simptom Covid-19 tidak akan melakukan ujian calitan kerana kurang berkemampuan.
“Cuba bayangkan, jika sesebuah keluarga itu mempunyai anak ramai dan bergejala, mereka mungkin membatalkan hasrat untuk membuat ujian calitan memandangkan kos yang agak tinggi,” ujarnya.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, satu kawal selia yang sistematik perlu diwujudkan supaya tiada klinik mengambil keuntungan atas angin.
Menurutnya, pemantauan pihak berkuasa di klinik dan pusat perubatan swasta juga harus sentiasa dijalankan bagi memastikan harga yang yang ditawarkan berpatutan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, mana-mana klinik swasta yang mengenakan caj tinggi melebihi harga siling perlu menyediakan bil terperinci bagi perkhidmatan terbabit.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba dilaporkan berkata, ketika ini, harga siling bagi RT-PCR bernilai RM150, manakala rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pula pada harga RM270.
Bagi ujian RTK-Ag, harga siling ditetapkan sebanyak RM60 selain ujian pantas mengesan antibodi pada kadar RM50 bagi kawasan Semenanjung.
Harga siling RT-PCR di Sabah dan Sarawak pula sebanyak RM200, rapid molecular (RM350), RTK-Ag (RM80) dan ujian pantas antibodi (RM70).
Kosmo! pada 24 Mei lalu melaporkan, beberapa pakar perubatan menggesa kerajaan untuk mengadakan saringan Covid-19 secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengesan jangkitan awal virus itu terutama varian Afrika Selatan, United Kingdom dan India.
Ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor menjadi negeri pertama yang menawarkan saringan besar-besaran secara percuma kepada rakyatnya. -K! ONLINE.