KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi kebenaran kepada 160 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 74 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh negeri ini untuk menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini serta total lockdown yang bermula esok.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barang keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu adalah dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan pihaknya.
“Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong serta peruncit masih beroperasi seperti biasa. Bekalan adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik.
“Begitu juga dengan kawalan kenaikan harga barang dan saya berharap masyarakat semakin matang selepas belajar daripada PKP 1.0 tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, beliau ditemu selepas meninjau bekalan keperluan asas di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia. – K! ONLINE