fbpx

29 premis judi haram diserbu di SPU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian barangan berkaitan perjudian online yang dirampas pada operasi di sekitar daerah Seberang Perai Utara selama empat hari.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 29 premis dipercayai menjalankan kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen dan judi online di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) diserbu dalam tempoh empat hari sehingga semalam.

Serbuan berkenaan membabitkan premis-premis di sekitar Kepala Batas, Tasek Gelugor, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Mak Mandin dan Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menahan 29 individu berusia di antara 19 hingga 77 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan 11 wanita.

“Pelbagai peralatan turut dirampas seperti pen kalkulator, modem, powerbank, slip kertas bercetak angka-angka judi loteri, telefon bimbit, mesin pencetak, sejumlah wang tunai bercampur-campur dan kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan bekalan elektrik di premis-premis berkenaan supaya kegiatan tersebut tidak berulang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(A) dan 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI