KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Julai ini bagi keputusan dua permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembabitan anggota keluarga bekas gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak hari ini.
Terdahulu pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram selaku responden dalam hujahannya berkata pihak pendakwaan membantah dua permohonan Najib untuk memberikan dokumen tersebut.
Ini kerana Gopal berpendapat bahawa dokumen-dokumen yang dipohon oleh Najib untuk membantunya dalam pembelaannya dalam perbicaraan 1MDB, sebenarnya tidak berkaitan dengan pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib sebagai orang yang dituduh dalam perbicaraan yang sama.
Sementara peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abullah dalam hujahannya mengemukakan bahawa Najib telah digagalkan oleh pengurusan 1MDB, di mana dia mempunyai akaunnya (AmBank) dan Bank Negara digambarkan sebagai “benteng terakhir” Najib.
Dalam perbicaraan itu, Najib telah menyatakan bahawa dia melantik pemegang amanah untuk menguruskan akaun banknya dan dana dalam akaun itu berasal dari pihak berkuasa Arab Saudi.
“Itulah sebab mengapa dokumen yang berkaitan dengan Zeti menjadi relevan. Sekiranya ahli keluarganya (Zeti) menerima sejumlah wang dari Jho Low, kredibilitinya akan dipertaruhkan, ” kata Muhammad Shafee. – K! ONLINE