fbpx

Rakyat mohon bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peniaga pasar malam antara golongan yang akan terjejas ekoran pelaksanaan total lockdown. – GAMbAR HIASAN

PETALING JAYA – Rakyat memohon kerajaan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk kewangan kepada mereka dalam mengharungi kehidupan getir sepanjang pelaksanaan penutup penuh atau total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial pastinya akan menjejaskan pendapatan golongan peniaga, bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Moratorium tanpa faedah, pengeluaran i-Sinar serta bantuan tunai antara yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk dilaksanakan semula bagi meri­ngankan beban mereka.

Beberapa penduduk Lembah Klang yang ditemui Kosmo! Ahad semalam mahu kerajaan me­laksanakan semula mo­ratorium bagi memberi bantuan kewangan sementara kepada peminjam.

Seorang peniaga produk kos­metik, Nur Zara Imtinan Abd. Aziz, 31, berkata, moratorium yang dilaksanakan pada tahun lalu berkesan dalam mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung rakyat yang terjejas akibat total lockdown.

“Kita semua pun tidak tahu sampai bila total lockdown akan dilaksanakan, mungkin tempoh sehingga enam minggu lamanya. Jadi tempoh moratorium perlulah mengambil kira faktor ini.

“Tawarkan moratorium dan terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya.

Seorang penjawat awam, Zulkifli Leman, 32, berkata, kerajaan perlu meneruskan skim i-Sinar yang dianggap sebagai talian ha­yat kepada mereka yang terjejas.

“Pengeluaran duit daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini tidak akan membebankan kerajaan.

“Selain itu, wujudkan satu bantuan tunai bagi mereka yang layak seperti golo­ngan penganggur, mereka yang kehilangan kerja, peniaga dan pemandu kende­raan awam,” ujarnya.

Di Johor Bahru, seorang pekerja swasta, Norshikin Mohd. Salleh, 38, berharap kerajaan akan merangka bantuan khas kepada golongan yang memperoleh pendapatan secara harian.

“Golongan peniaga misalnya, pendapatan mereka adalah secara harian, jadi apabila total lockdown dilaksanakan, pasti pendapatan akan terjejas.

“Saya harap kerajaan dapat membantu golongan ini agar usaha memutuskan rantaian Covid-19 turut mengambil kira kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Di Shah Alam, seorang pengusaha kedai gunting di Seksyen 7, Mohd. Hazmi Hamdan, 43, berkata, kesan pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu masih terasa dan sehingga kini, dia masih terpaksa bergelut dalam memastikan ke­langsungan perniagaannya.

“Keuntungan dan pusingan modal ada perkara paling memeningkan dalam membayar kos termasuk sewa dan pekerja. Kami harap ada bantuan khas yang akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Di Kuala Terengganu, seorang kakitangan syarikat perkhidmatan kesihatan, Mohd. Hasrul Rezuan Ghazali, 32, berkata, keputusan kerajaan melaksanakan sekatan penuh adalah tepat pada masanya ketika kes Co­vid-19 te­lah melonjak melebihi 9,000 kes.

“Kalau hendak jaga sangat sektor ekonomi, saya percaya sampai bila-bila pun kes Covid-19 tidak akan selesai, namun kebajikan rakyat yang sudah pasti bakal menerima impak negatif jangan dilupakan,” katanya.

Di Sungai Petani, pemandu lori, Ahmad Syahir Abdul Rahman, 38, berkata, pendapatannya mungkin terjejas jika syarikat tempat dia bekerja membuat keputusan untuk menutup operasi sepanjang tempoh itu.

“Pendapatan kami bergantung kepada ‘trip’, jika lori tidak bergerak tentunya tiada wang.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan boleh menyalurkan bantuan tunai kepada kami,” katanya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI