KLANG – Kegiatan sebuah premis aktiviti kitar semula buangan terjadual beroperasi secara haram terbongkar apabila diserbu di kawasan Perindustrian Perdana di sini, semalam.
Serbuan dilakukan pukul 10 malam hasil intipan selama seminggu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor itu turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang bertugas sebagai penyelia.
Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, semakan mendapati premis yang beroperasi sejak Disember 2019 itu menjalankan kerja kitar semula barangan dawai tembaga yang dikategorikan sebagai SW 422 iaitu campuran buangan terjadual dan buangan tidak terjadual.
Katanya, semasa serbuan didapati pekerja di premis terbabit sedang membuat pengasingan kuprum melalui kaedah ayakan ( penggredan) dan pengeringan.
“Siasatan lanjut di lokasi tujuh juga mendapati dawai tembaga terbabit diimport dari luar negara berdasarkan penemuan tujuh buah kontena di kawasan berkenaan.
“Kita turut merampas barangan kelengkapan iaitu 16 mesin penghancur, mesin penyagak (10) dan empat buah mesin pengering,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE