KOTA BHARU – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengambil tindakan tegas terhadap seorang wanita yang secara terbuka mempersenda agama Islam dalam satu video yang tular ketika ini.
Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, sebagai rakyat Malaysia dan Kelantan khususnya yang beragama Islam, pihaknya membantah serta sekeras-kerasnya tindakan penghinaan terhadap agama Islam dilakukan oleh usahawan itu.
“Saya harap polis dan Jaheaik dapat mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap wanita itu. Ia demi kesucian dan keharmonian agama Islam di negara ini.
“Kami berharap tindakan yang bakal dikenakan terhadap wanita itu dapat memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video usahawan kosmetik wanita berdurasi 57 saat yang mempersendakan agama Islam dengan menyatakan dia tidak suka solat dan tidak tahu surah Yasin. – K! ONLINE