TAMPIN – Tular di media sosial sejak semalam mengenai komen peribadi seorang individu yang menyelar tindakan polis tanpa menggunakan budi bicara menyaman seorang warga emas yang merentas daerah bagi mengambil keretanya di sebuah bengkel di Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kompaun sebanyak RM5,000 dikenakan kepada warga emas itu selepas dia gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran polis bagi tujuan merentas negeri dari Alor Gajah Melaka ke Tampin, Negeri Sembilan kelmarin kira-kira pukul 10.30 pagi.
Menurutnya, warga emas berusia 74 tahun itu di tahan semasa pemeriksaan di jalan by pass Tampin oleh Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Warga emas berkenaan telah memberi alasan tidak munasabah iaitu ingin mengambil keretanya di sebuah bengkel kereta di Tampin sedangkan ketika itu dia memandu sendirian dan bukannya datang berdua untuk mengambil kereta tersebut.
“Alasan yang diberikan lelaki itu juga berubah-ubah dan mengelirukan. Dia kata ingin ambil kereta, selepas itu bagi alasan ingin melihat keretanya sahaja di bengkel kerana itu tindakan kompaun diambil mengikut undang-undang dan Peraturan di bawah Akta 342,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Anuwal berkata, pada hari yang sama, tiga individu lain juga dikenakan kompuan atas kesalahan sama iaitu tiada surat kebenaran merentas negeri. – K! ONLINE