fbpx

Permit tamat tempoh, 68.8 tan produk kayu dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kontena yang membawa produk kayu yang ditahan menggunakan permit import tamat tempoh di Pelabuhan Tanjung Pelepas Gelang Patah, Johor, petang kelmarin.

JOHOR BAHRU – Cubaan sebuah syarikat membawa masuk 68.8 tan kayu yang siap dipotong tidak kesampaian apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), petang kelmarin.

Dalam kejadian pemeriksaan pada pukul 3.50 petang itu, sebuah kontena yang membawa produk kayu bernilai RM210,776 menggunakan permit import tamat tempoh ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan mendapati produk kayu yang dimuatkan dalam kontena terbabit dibawa masuk dari Kanada.

“Hasil pemeriksan lanjut yang dijalankan mendapati produk kayu yang dianggarkan bernilai RM210,776 itu telah dibawa masuk menggunakan permit import yang telah tamat tempoh.

“Kesemua produk kayu seberat 68.8 tan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan
Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.

“Jika sabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI