fbpx

Penceramah beri kuliah tolak vaksin di Kelantan berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifle (kanan) menyampaikan sumbangan keperluan kepada petugas PPV Pasir Mas di Lobi Maik, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Penceramah atau imam yang didapati menyampaikan pengajaran kuliah bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program imunisasi atau vaksinasi Covid-19 di Kelantan bakal berdepan tindakan tegas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman berkata, jika ada golongan berkenaan yang melakukan perkara itu, pihaknya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

“Setakat ini, kita belum kenal pasti lagi pihak terbabit, namun kerajaan negeri turut bertegas dalam isu ini.

“Tindakan tegas pasti akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat. Hukumannya akan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan dan kita akan nilai,” katanya pada sidang akhbar di lobi pejabat Maik, Lundang di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkifle menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan bernilai hampir RM10,000 untuk kegunaan petugas barisan hadapan dan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pasir Mas.

Barangan keperluan berupa 500 pelindung muka, 200 botol cecair pembasmi kuman, 220 pelitup muka fabrik, 500 botol air minuman dan sebanyak 500 bungkus makanan itu diserahkan kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, menurut Zulkifle, tindakan penceramah dan imam itu juga boleh menyebabkan masyarakat tidak mengambil suntikan vaksin.

Katanya, ia mampu mengundang bahaya ekoran kes meningkat di negeri Kelantan yang mencapai lebih 900 kes semalam.

“Tada pasukan khas bagi memantau keadaan ini ditubuhkan, namun Maik bekerjasama rapat dengan ketua jajahan yang menjadi mata dan telinga kita jika ada pelanggaran sama ada melalui ceramah atau prosedur operasi standard (SOP).

“Penceramah bertauliah ini mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Jika mereka menjadi penyebab ramai yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin, maka kita khuatir keadaan akan bertambah bahaya,” katanya.

Sebelum ini, Maik melarang segala penyampaian pengajaran kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program imunisasi atau vaksinasi Covid-19.

Maik mendapati segelintir pendakwah termasuk pemegang tauliah mengajar Maik telah membuat kenyataan dengan mengulas tentang penularan wabak Covid-19 dan program vaksinasi baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI