PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Mira Filzah, 28, menzahirkan rasa kecewa selepas ramai yang merentas negeri meskipun belum mendapat suntikan vaksin.
Bahkan, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman turut bersedih dengan jumlah kematian harian akibat Covid-19 yang meningkat setiap hari.
Pelakon yang terkenal menerusi drama Bidadari Kiriman Tuhan itu juga turut berkongsi berita gembira apabila dia berjaya mendapat suntikan dos pertama vaksin jenis AsteraZeneca semalam.
“Sudah divaksin. Alhamdulillah semua berjalan lancar pagi tadi (semalam) untuk dos pertama AsteraZeneca.
“Namun selepas tengok harian, rasa down (murung). Kecewa kerana ramai lagi yang belum dapat vaksin tetapi masih ada yang berani merentas negeri,” katanya dalam InstaStory semalam.
Dalam pada itu, pengacara Nona itu turut memahami kesulitan orang ramai untuk mendapatkan slot suntikan vaksin yang berlaku baru-baru ini.
“Saya tahu sesetengah daripada anda sudah berusaha sebaik mungkin untuk mendaftar dapatkan vaksin AsteraZeneca tempoh hari tetapi tidak berjaya.
“Sabarlah semua, akan ada lebih banyak vaksin yang akan tiba tidak lama lagi,” tuturnya.
Isteri kepada arkitek, Wan Emir Astar itu juga menasihatkan agar rakyat Malaysi kekal berada di rumah bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.
“Tetapi sementara itu, tolong kekal berada di rumah. Sama-sama kita kurangkan bilangan kematian dan jumlah kes harian.
“Marilah kita lakukan ini untuk keluarga dan masa depan,” katanya lagi.
Semalam, Malaysia merekodkan jumlah jangkitan positifi harian tertinggi iaitu 9,020 kes.
Malah, jumlah kematian pula 98 iaitu jumlah yang paling tinggi sejak virus maut tersebut melanda negara. – K! ONLINE