IPOH – Sebuah kereta Mercedes-Benz W123 pemberian Allahyarham Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menjadi antara kenangan terakhir buat Mohmad Walid Ahmad Shawaluddin, 66.
Menurut Mohmad Walid, kereta milik Harussani itu dihadiahkan kepadanya ketika dia bekerja sebagai tukang kebun di rumah Mufti Perak itu.
“Tan Sri hadiahkan saya kereta itu untuk memudahkan urusan menghantar anak-anak ke sekolah bersama cucunya sendiri.
“Kereta itu antara kereta kesayangan Tan Sri tetapi diberikan kepada saya. Mungkin Tan Sri khuatir dengan keselamatan saya kerana ketika itu saya hanya menggunakan kereta lama untuk bergerak ke sana mari.
“Kalau mahu diikutkan, bukan sahaja kereta, banyak lagi pemberian lain beliau kepada kami sekeluarga,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.
Malah katanya, dia yang tinggal berjiran di hadapan kediaman Harussani juga menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat mengambil berat perihal jiran tetangga. – K! ONLINE