KOTA BHARU – Kerajaan masih belum memikirkan sebarang keputusan untuk mengenakan kompaun kepada individu yang tidak hadir pada tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini, masih tiada sebarang ketetapan berhubung perkara itu meskipun penerima sudah menerima tarikh suntikan.
Katanya, ini kerana, ia selari dengan dasar kerajaan dalam menguruskan suntikan vaksin iaitu diberikankan secara percuma dan sukarela kepada rakyat.
“Kerajaan sedang memikirkan keadaan itu (kompaun) kerana kita tidak mahu berlaku sebarang pembaziran. Satu sistem mungkin perlu dilakukan supaya mereka yang tidak hadir dapat digantikan kepada individu lain.
“Ketika ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mengendalikan isu vaksin. Jadi, jawatankuasa itu akan menguruskan aspek tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, Jalan Bayam di sini hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu menyampaikan insentif sebanyak RM20 kepada warga Kota Bharu yang mengambil suntikan vaksin Covid-19 di pejabatnya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan mereka yang gagal hadir janji temu untuk vaksinasi Covid-19 bakal dikompaun ataupun dikenakan penalti tertentu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tindakan tegas itu akan dibawanya dalam perbincangan pihak JKJAV tidak lama lagi.
Langkah itu hanya akan dibuat setelah pendekatan sukarela dan pendaftaran menerusi pelbagai saluran dilaksanakan sepenuhnya tidak mendapat sambutan rakyat. – K! ONLINE