PETALING JAYA – Komen-komen lucah netizen ternyata tidak menjadi kudis buat penyanyi yang juga pelakon, Elizabeth Tan dan suaminya, Siew Tan.
Lebih mengejutkan, suami kepada pelantun lagu Semua Sudah itu membuat pengakuan, langsung tidak mencemburui perlakuan tidak senonoh netizen terhadap isterinya.
Malah Siew Tan, 30, ketika menjawab soalan peminat isterinya dalam satu sesi soal jawab dalam Instagram dengan senang hatu berkata, dia tidak kisah tentang perkara tersebut.
“Secara jujurnya kosong peratus. Saya tidak cemburu dan tidak kisah dengan komen sebegitu (lucah).
“Kalau kamu rasa mereka (peminat) berfikiran lucah, sebenarnya saya dan isteri lebih lucah daripada itu. Saya bukanlah seorang lelaki yang kuat cemburu,” kata Siew Tan.
Sama seperti suaminya, malah Elizabeth berterima kasih kepada komen-komen peminat atau netizen. Dia menyifatkan semua itu membuktikan sokongan ramai terhadap karier seninya.
Dalam sesi soal jawab itu, Elizabeth Tan atau lebih mesra disapa Lizzy buat pertama kalinya tampil bersama suami, Siew Tan menerusi satu sesi soal jawab bersama peminat dalam Instagramnya semalam.
Menurut Lizzy, sesi soal jawab itu dibuat selepas dia mendapat banyak permintaan daripada peminat yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang jejaka tersebut.
“Ramai merungut kenapa saya tidak buat konten bersama suami? Jadi kali ini saya dan suami akan menjawab 15 soalan yang anda ajukan untuk dijawab,” kata Lizzy.
Menerusi sesi soal jawab itu, Lizzy telah mendedahkan bibit perkenalan dengan suaminya selepas ditanya salah seorang peminat bagaimana mereka berdua boleh berkenalan.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Knock Knock itu, dia bertemu dengan suaminya di sebuah bar pada tahun 2014.
“Ketika itu saya masih mempunyai kekasih. Jadi ketika berjumpa kami tidak banyak berbual. Kami diperkenalkan oleh rakan baik suami.
“Selepas itu kami tidak lagi berhubung selama tiga tahun sebelum bertemu semula dalam Facebook,” ujar Lizzy.
Dalam sesi itu juga, Lizzy dan suaminya memberitahu bahawa mereka telah berkawan selama tiga tahun sebelum berkahwin.
“Ketika itu dia (suami) masih bekerja di salah sebuah hospital di Sabah,” katanya.
Berbicara lebih lanjut, Lizzy memberitahu sehingga kini dia dan suami masih tinggal berasingan dan akan bertemu sekali dua dalam seminggu jika ada keperluan.
“Saya masih tinggal bersama emak dan begitu juga dia (suami). Kami akan bertemu sekali dua dalam seminggu sahaja,” katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi perkahwinan selebriti itu selepas tular beberapa keping foto majlis perkahwinannya dalam laman sosial sekitar Mac lalu.
Lizzy akhirnya tampil mengesahkan bahawa dia telah pun berkahwin dan memohon maaf kerana merahsiakan majlis perkahwinannya yang dibuat secara tertutup di sebuah gereja di Gombak, Selangor dan dihadiri seramai 10 ahli keluarga terdekat sahaja. – K! ONLINE