fbpx

Kerajaan umum sektor dibenarkan semasa ‘total lockdown’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya beberapa sektor ekonomi dan sosial sahaja yang akan dibenarkan untuk terus beroperasi manakala yang tidak dinyatakan akan diarahkan tutup sepanjang pelaksanaan tersebut.

“Antara sektor yang dibenarkan untuk terus beroperasi adalah perkhidmatan makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk pakar veterinar, air, tenaga, keselamatan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan.

“Turut dibenarkan pengangkutan darat, air dan udara, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang juga sektor komunikasi seperti internet, pos, kurier dan penyiaran bagi tujuan penyampaian berita dan seumpamanya sahaja,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan turut membenarkan sektor seperti perbankan,insuran, takaful dan pasaran modal, kredit komuniti, e-dagang dan teknologi maklumat, serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

“Kebenaran beroperasi juga diberikan kepada hotel dan penginapan yang hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan, pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

“Kerajaan juga akan membenarkan perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu sahaja untuk terus beroperasi,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, kesemua sektor berkenaan bagaimanapun hanya dibenarkan beroperasi dalam tempoh mulai 8 pagi sehingga 8 malam sahaja dengan kapasiti bekerja adalah seramai 60 peratus.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjelaskan bahawa semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah terbatal mulai 1 Jun ini.

“Permohonan baru bagi kebenaran perjalanan perlu dikemukakan kepada kementerian yang berkaitan dan Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok. 

“Selepas ini juga pihak Polis Diraja Malaysia dan penguatkuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan bagi memastikan majikan mematuhi arahan kerajaan untuk membenarkan hanya 60 pekerja di pejabat pasa satu-satu masa,” tegas beliau

Terdahulu, kerajaan pada 28 Mei lalu mengumumkan total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Jelas Ismail Sabri, tidak mustahil sistem kesihatan negara akan lumpuh dalam masa terdekat sekiranya total lockdown tidak dilaksanakan.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata, sepanjang total lockdown itu berkuat kuasa, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.- K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI