SEBERANG PERAI – Seorang pesara wanita di Sungai Dua, Butterworth di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM57,300 lesap dipercayai akibat diperdaya diperdaya sindiket Love Scam baru-baru ini.
Mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 55 tahun itu dikatakan terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya tinggal di London melalui aplikasi media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah menjalinkan hubungan cinta dengan kekasih di media sosial itu sejak kira-kira enam bulan lalu.
Menurutnya, wanita itu telah termakan dengan kata-kata manis suspek yang berjanji akan datang ke Malaysia untuk bertemunya dan akan dikirimkan hadiah sebagai tanda cinta.
“Selepas beberapa hari berikutnya, mangsa dihubungi individu lain yang mendakwa dari pihak kurier yang memaklumkan terdapat bungkusan ditahan di lapangan terbang kerana terdapat banyak wang dolar Amerika Syarikat.
“Mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran bagi membolehkan pihak kastam melepaskan hadiah tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang begitu teruja tidak menyedari bahawa itu adalah taktik penipuan sindiket Love Scam, tanpa berfikir panjang telah menyerahkan sejumlah wang bagi menerima hadiahnya.
“Dia telah membuat 10 transaksi memasukkan wang ke dalam dua akaun bank secara berperingkat berjumlah RM 57,300.
“Mangsa bagaimanapun sedar dirinya ditipu selepas individu tersebut berterusan meminta dia membuat pembayaran selain diugut akan ditangkap pihak kastam jika tidak membayar,” katanya lagi.
Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE