PETALING JAYA – Kerajaan hari ini menetapkan bahawa hanya dua individu wakil isi rumah sahaja yang dibenarkan keluar sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama yang akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi pesakit yang ingin mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan pula hanya tiga individu sahaja dibenarkan.
“Kebenaran itu juga diberi untuk perjalanan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan itu tiada dalam radius 10 kilometer tersebut.
“Bilangan penumpang dalam teksi dan perkhidmatan e-hailing juga dihadkan kepada dua individu sahaja termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan untuk duduk di kerusi penumpang bahagian belakang,” katanya pada satu sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini.
Menurut Ismail Sabri, perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan bas pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan.
“Waktu operasi dan frekuensi perkhidmatan bagaimanapun tertakluk kepada Kementerian Pengangkutan kecuali pesawat,” katanya.
Tambah beliau, kapasiti kehadiran bagi anggota perkhidmatan awam adalah terhad kepada 20 peratus bagi tugasan perlu namun tidak termasuk petugas barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan.
“Bagi perkhidmatan bukan perlu pula haruslah 100 peratus bekerja dari rumah manakala kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu termasuk operasi dan pengurusan dihadkan kepada 60 peratus kehadiran,” ujar beliau- K! ONLINE