SUNGAI PETANI – Dua beradik lelaki ditahan bersama kira-kira 4.5 kilogram (kg) dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM50,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Keladi di sini semalam.
Dua suspek warga tempatan berusia 44 dah 47 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kira-kira pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan menemui 29 paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi kira-kira 4.5 kg dadah jenis heroin.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak sebulan lalu dan berperanan sebagai penyimpan bekalan dadah dalam kuantiti yang banyak sebelum diserahkan kepada pengedar kecil.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua heroin yang dirampas boleh digunakan sehingga 11,100 orang penagih dadah.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan penagih tegar heroin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan narkotik. – K! ONLINE