BOGOTA, Colombia – Sekurang-kurangnya 10 orang di bandar Cali terbunuh dalam demonstrasi antikerajaan yang berlangsung seharian, kata pihak berkuasa ketika tunjuk perasaan di Colombia memasuki bulan kedua semalam.
Presiden Ivan Duque mengumumkan kelmarin bahawa beliau mengerahkan tentera ke Cali. Tunjuk perasaan di negara itu yang bertukar menjadi gerakan kebangkitan rakyat, genap sebulan kelmarin.
“10 orang mati. Itu angka kematian kami dapat pagi ini (semalam) dalam beberapa insiden berkaitan demonstrasi yang berlangsung kelmarin,” kata Setiausaha Keselamatan Cali, Carlos Rojas kepada stesen radio tempatan, Caracol.
Polis berkata, lapan daripada 10 orang yang terbunuh itu ditembak mati.
Beliau bercakap selepas terdapat laporan pertempuran ganas berlaku di jalanan. Dalam satu kes berkenaan, pegawai di pejabat pendakwa raya Cali memberitahu bahawa seorang anggota polis di luar waktu bertugas menembak ke arah orang ramai dan membunuh seorang orang awam sebelum dia mati dibelasah penunjuk perasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, badan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch berkata, situasi di Cali yang mempunyai seramai 2.2 juta penduduk itu adalah serius.
Pada 2019 iaitu setahun selepas Duque berkuasa, kumpulan-kumpulan pelajar keluar ke jalan-jalan raya untuk menuntut pendidikan awam percuma, pekerjaan lebih baik dan sebuah kerajaan mesra rakyat.
Wabak koronavirus menamatkan bantahan mereka tanpa Duque perlu memenuhi tuntutan tersebut.
Bagaimanapun, pada 28 April lalu, cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai terhadap golongan pertengahan mendorong orang ramai sekali lagi turun ke jalan-jalan raya untuk mengadakan demonstrasi.
Walaupun usul tersebut dibatalkan, ia mencetuskan gerakan antikerajaan oleh rakyat yang terpaksa berdiri di atas kaki sendiri ketika negara dilanda pandemik. Rakyat semakin marah berikutan tindakan keras pasukan keselamatan dalam menyuraikan tunjuk perasaan. – AFP