SKUAD Harimau Malaya perlu bersikap lebih matang apabila bersaing pada baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu depan selepas tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Nasional Bahrain itu, skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan hasil jaringan yang dilakukan oleh Mahdi Abduljabbar menerusi sepakan penalti (m-41) dan rembatan Mohamed Jassim Marhoon (m-61).
Lebih malang, pada aksi tersebut juga menyaksikan beberapa tonggak negara gagal mengawal emosi dengan membantah keputusan pengadil seperti Liridon Krasniqi yang dilayangkan kad kuning selain Safawi Rasid (kad merah) selepas dikeluarkan pada babak kedua.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mahu barisan pemain negara cepat belajar daripada kesilapan dan kelemahan individu selain perlu memastikan emosi dapat dikawal dengan baik ketika beraksi di atas padang.
“Ada beberapa perkara yang boleh kita perbaiki selepas melihat aksi menentang Bahrain kali ini dan yang pertama sudah tentu aspek kesilapan individu di atas padang.
“Kedua, kegagalan pemain mengawal emosi juga perlu diberi perhatian kerana saya mahu mereka bijak mengawal perasaan walaupun bukan mudah memandangkan kita beraksi di gelanggang lawan.
“Situasi ini penting agar fokus pasukan tidak terjejas meskipun ada ketika keputusan pengadil perlawanan mahu dipertikaikan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui pasukannya telah menunjukkan peningkatan dari segi prestasi berbanding sewaktu tewas 1-4 kepada Kuwait pada aksi ujian pertama minggu lalu.
“Aksi yang pemain pamerkan kali ini lebih baik berbanding bertemu Kuwait tetapi dalam masa yang sama saya mahu mereka terus bekerja keras kerana cabaran sebenar pasukan adalah bertemu UAE (Emiriyah Arab Bersatu) nanti,” katanya.
Selepas aksi bertemu Bahrain, Harimau Malaya akan melengkapkan tiga baki saingan kumpulan G dengan bertemu UAE (4 Jun), Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) di Dubai.