JAKARTA – Cahaya hijau yang dirakam berdekatan Gunung Merapi, Jogjakarta, Indonesia baru-baru ini dipercayai mempunyai kaitan dengan fenomena hujan meteor, lapor laman berita Liputan 6.
Hal itu dimaklumkan oleh Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN) menerusi kenyataan salah seorang penyelidiknya, Andi Pangerang.
“Kami berpendapat kilatan cahaya kehijauan yang muncul dekat Gunung Merapi mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian hujan meteor,” jelas Andi.
Foto tentang penampakan cahaya hijau dekat Gunung Merapi itu sebelum ini dimuat naik menerusi akaun instagram @Gunarto_Song.
Fenomena itu turut disahkan menerusi rakaman kamera televisyen tertutup (CCTV) dari Merapi dan Pos Kalitengah Kidul.
Jelas Andi, berdasarkan data dari Organisasi Meteor Antarabangsa (IMO) bagi Mei 2021, terdapat sekurang-kurangnya dua hujan meteor aktif ketika apabila cahaya itu dirakam oleh kamera pada Khamis lalu.
Hujan meteor Eta Aquarid itu aktif antara 19 April hingga 28 Mei lalu manakala hujan meteor Arietid aktif pada 14 Mei hingga 24 Jun depan.
Hujan meteor merupakan gugusan meteor yang jatuh dan melalui permukaan Bumi yang luas.
Ia akan kelihatan sama seperti titisan air hujan yang turun dari awan.
“Hujan meteor merupakan peristiwa astronomi yang biasa dan tiada kaitan dengan gerhana bulan penuh yang berlaku pada Rabu lepas,” kata Andi.
Tambahnya lagi, warna hujan meteor itu bergantung kepada elemen yang mendominasinya.
“Warna hijau kebiru-biruan datang dari magnesium. Jika kalsium pula, warnanya adalah ungu manakala nikel pula memiliki warna hijau yang bersinar,” katanya. -Agensi