fbpx

1,144 kematian dalam tempoh 29 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,144 kes kematian disebabkan Covid-19 direkodkan dalam tempoh 1 hingga 29 Mei, sekali gus jumlah kes kematian bulanan paling tinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk pertambahan 98 kes kematian semalam, yang membawa jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 mencecah 2,650 kes.

“Hari ini (semalam) merupakan satu detik hitam apabila negara mencatatkan kes kematian harian Covid-19 yang tertinggi sejak pandemik ini bermula.

“Bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung penambahan mendadak jumlah jenazah/mayat susulan peningkatan kematian akibat Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Facebook beliau malam tadi.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihak perkhidmatan perubatan forensik telah menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk jenazah/mayat pesakit Covid-19 atau bukan Covid-19 di lima hospital.

“Ia melibatkan Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Sungai Buloh serta satu ‘fleximort’ khusus untuk jenazah/mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Setiap kontena khas ini boleh menampung maksimum 20 jenazah/mayat manakala bagi ‘fleximort’ maksimum sebanyak 12 jenazah/mayat,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan, adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa.

“Setiap pihak yang berkepentingan, pastinya mempunyai keutamaan masing-masing. Namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan kami adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.

“Apabila kes aktif melebihi kemampuan dan kapasiti kami untuk merawat, doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil Unit Rawatan Rapi ICU bagi pesakit mempunyai potensi sembuh lebih tinggi berbanding pesakit potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).

“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak membantu KKM supaya sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali.

“Semua pihak daripada peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19. Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara.

“Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita, pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI