SALEM, OREGON – Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat tular di media sosial susulan pendedahan sikap suaminya yang kedekut dalam paparan menerusi aplikasi TikTok, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Amber Horne berkongsi siri video bertajuk My Husband is So Cheap itu dalam akaun TikTok miliknya yang mempunyai hampir 800,000 pengikut.
Dalam episod ke-29, Amber berkata, suaminya tidak pernah membuang gulungan tisu dapur yang sudah digunakan.
Dia sebaliknya menggantung helaian tisu itu di ampaian sehingga kering dan menggunakannya semula.
Malah, tali ampaian yang digunakan juga dibuat sendiri menggunakan benang.
Amber sudah berkahwin selama 25 tahun dengan suaminya. Dia dan lima anak mereka terpaksa menerima seadanya sifat kedekut lelaki itu.
Suami Amber juga akan menambah air ke dalam susu segar supaya susu menjadi lebih banyak, mengeluarkan lampu peti ais untuk menjimatkan bil elektrik dan tidak berjalan di atas karpet bagi mengelakkan ia haus.
Mereka sekeluarga juga hanya membeli perabot terpakai.
Lelaki itu tidak pernah membelikan pakaian baharu untuk keluarganya dan sanggup meminta kepada jiran-jiran supaya mendermakan pakaian lama mereka.
Amber berkata, sifat kedekut suaminya tidak banyak membantu mereka untuk berjimat.
Bagaimanapun, dia mengakui ada segelintir amalan suaminya yang dapat mengurangkan perbelanjaan isi rumah mereka. – Agensi