fbpx

Profesionalisme, iktibar insiden tren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Di saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang semakin hari ibarat ‘semakin kelam’, kita diuji pula dengan kejadian pelanggaran dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada malam Isnin lalu.

Semasa kejadian, pengangkutan awam itu membawa seramai 213 penumpang dan rata-rata mereka baru pulang dari kerja.

Kejadian yang pertama kali berlaku sepanjang 23 tahun operasinya itu menyebabkan 64 orang cedera dengan enam daripada mereka dilaporkan kritikal.

Sudah pasti kita dapat membayangkan suasana kalut di hospital selepas penumpang-penumpang dibawa ke situ yang ketika ini kapasitinya terhad.

Sejak mula kejadian berlaku, kes dikendalikan dengan penuh berhemah oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turun ke lokasi seterusnya mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku kepada orang ramai.

Langkah Ka Siong yang tiba awal di lokasi kejadian membuktikan keseriusan beliau dalam mengendalikan kes tersebut yang mendapat liputan meluas termasuk media asing.

Buktinya, dalam masa tiga hari seperti dijangkakan, kerja-kerja mengalihkan gerabak, membersih dan membaiki trek hampir selesai di lapangan yang terletak di antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC.

Membaca coretan seorang doktor mengenai cara menguruskan mangsa-mangsa pelanggaran tren oleh kakitangan Hospital Kuala Lumpur membuatkan kita berasa lega.

“Perkara pertama yang dilakukan adalah memahami situasi. Setelah mendapat semua maklumat, saya mula fikirkan tentang penempatan pesakit-pesakit di setiap zon.

“Semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang dan menyelesaikan kes bersama-sama petugas syif malam,” kata Dr. Alzamani Mohammad Idrose.

Ketika menghadapi krisis, komunikasi adalah penting sebelum disusuli dengan tindakan supaya setiap orang yang terlibat memahami peranan masing-masing.

Lebih mengharukan, di saat mereka berhempas-pulas mengendalikan kes-kes pesakit Covid-19 masih tetap bekerjasama membantu antara satu sama lain walaupun masing-masing keletihan kerana ada bekerja syif pagi.

Dengan kerjasama semua pakar, pegawai perubatan dan jururawat termasuk jabatan-jabatan berkaitan, kesemua penumpang selesai diperiksa dalam masa tiga jam. Syabas semua!

Pada hari kedua, insiden tersebut ‘dicemari’ dengan perkara yang kurang menyenangkan disebabkan tindakan bekas bos besar syarikat pengangkutan tersebut yang kemudiannya menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Ada netizen yang menghangatkan intipati sidang akhbar beliau dengan membuat troll, namun ia tidak menggambarkan kelemahan pengendalian kes itu secara keseluruhannya. Di sebalik semua itu, ada pengajaran yang boleh dikutip dalam kes ini.

Buang yang keruh, ambil yang jenih.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI