PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui sekumpulan penyelidik yang diketuai Mohd. Ramdhan Mohd. Khalid telah berjaya mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.
Teknologi baharu itu akan dapat mengubah cara memungut buah sawit relai secara konvensional yang mana buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg.
Kaedah ini bukan sahaja menuntut tenaga kerja dan memakan masa kerana pekerja perlu membongkok untuk memungut buah sawit relai sepanjang hari dan proses yang tidak produktif ini amat meletihkan.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, teknologi tersebut yang boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini itu akan bertindak menggunakan konsep siklon serta menyedut buah sawit relai ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong.
Menurut beliau, konsep ini juga mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap.
“Semasa buah relai berpusing di dalam ruang tong, buah relai yang berat akan jatuh ke bahagian bawah tong kerana kehilangan tenaga sementara sampah sarap yang lebih ringan seperti daun kering akan disedut keluar dari sistem,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ahmad Parveez menjelaskan, aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi yang sesuai dan efisien telah dimulakan pada tahun 2012.
Sepanjang tempoh itu, beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit.
“Ujian menunjukkan bahawa secara puratanya, jentera ini mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 dan 5.1 kilogram / minit atau 1200 hingga 1500 kg sehari dengan kandungan sampah kurang dari 15 peratus.
“Buah sawit relai juga tidak rosak semasa operasi,” jelasnya.
Selain itu, MPOB telah menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn. Bhd. untuk pengkomersialan teknologi tersebut yang dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja.