KEMAMAN – Keasyikan sekumpulan lelaki bermain judi holo terencat apabila diserbu sepasukan anggota polis di sebuah jeti di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, seramai lapan lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 63 tahun disyaki kaki judi berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan polis membuatkan kebanyakan suspek yang merupakan nelayan dan buruh panik lalu lari bertempiaran cuba meloloskan diri.
“Sewaktu cuba mengelak ditangkap, ada suspek yang nekad terjun ke dalam laut tetapi kecekapan anggota polis bertugas berjaya memberkas kesemua mereka.
“Hasil soal-siasat awal, mereka mengaku bermain judi holo terbabit sejak dua minggu lalu yang buka sahaja aktiviti haram malah tidak menghiraukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, serbuan tersebut berjaya merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian berkenaan seperti kain putih yang mempunyai imej ayam, holo, ketam, ikan, bola dan udang selain tiga biji dadu.
Tambah beliau, satu piring dan mangkuk tertera gambar bunga serta wang tunai berjumlah RM120 dipercayai menjadi pertaruhan aktiviti haram tersebut turut dirampas. – K! ONLINE