GUA MUSANG – Polis mengetatkan kawalan terhadap kenderaan yang masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sejak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya mengesan berlaku peningkatan kenderaan sebanyak 10 hingga 15 peratus bermula pagi ini di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Putih di sini.
Katanya, keadaan itu berlaku selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini.
“Anggota di SJR diarahkan untuk mengetatkan pemeriksaan ke atas kenderaan luar yang ingin masuk ke Kelantan melalui Gua Musang.
“Kita akan pastikan setiap mereka yang ingin merentas negeri mempunyai permit perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, aliran trafik sesak teruk di Tol Gombak dan Tol Sungai Besi hari ini menjelang dua hari pelaksanaan ‘total lockdown’.
Trafik didapati sesak di kedua-dua tol menghala ke Pantai Timur dan Selatan tanah air yang dirakam sekitar pukul 10 pagi tadi. -K! ONLINE