TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (HRC) menyiasat tindakan Israel menyerang wilayah Palestin di Semenanjung Gaza adalah mempersenda undang-undang antarabangsa, lapor laman berita RT kelmarin.
Langkah tersebut kata beliau, akan memberi ‘galakan’ kepada kumpulan pengganas lain di seluruh dunia.
Draf resolusi menuntut siasatan jenayah perang dilakukan berhubung konfrontasi 11 hari Israel dan pergerakan Hamas di Gaza serta insiden sebelumnya diluluskan majlis berkenaan kelmarin dengan 24 undian menyokong dan 9 menentang, manakala 14 yang lain berkecuali.
Dalam beberapa kenyataan di laman Twitter, Netanyahu menyifatkan keputusan HRC adalah ‘memalukan’ dan bukti bahawa badan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu terlalu obses untuk menjadi anti-Israel.
“Sekali lagi, HRC membuat resolusi tidak bermoral dan menutup mata terhadap organisasi pengganas yang sengaja menyasarkan warga Israel dan menjadikan penduduk Gaza sebagai perisai manusia,” kata Netanyahu yang merujuk kepada Hamas.
“Israel berbuat begitu untuk melindungi penduduknya semasa konflik dan siasatan terhadap tindakan itu adalah mempersendakan undang-undang antarabangsa dan memberi galakan kepada pengganas di seluruh dunia,” tegas Netanyahu.
Menurutnya, serangan ke atas Gaza adalah ‘tindakan sah bagi melindungi penduduk Yahudi’ semasa konflik dengan Hamas.
Kementerian Luar Israel juga menolak resolusi HRC dan menegaskan, Israel tidak dapat dan tidak akan bekerjasama dengan siasatan seperti itu.
Ketegangan antara Israel dan Palestin meningkat pada April lalu susulan rancangan Rejim Zionis untuk mengusir penduduk Arab di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur dan pencerobohan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.
Konfrontasi bermula apabila Hamas dan Tentera Pertahanan Israel (IDF) berbalas serangan antara 6 Mei hingga 21 Mei lalu.
Pertempuran itu menyebabkan 248 penduduk Palestin terbunuh di Gaza termasuk 66 kanak-kanak, manakala angka kematian di Israel ialah 12 orang termasuk dua kanak-kanak.
Dalam ucapannya kelmarin, ketua HRC, Michelle Bachelet berkata, serangan Israel ke atas kejiranan yang padat dengan penduduk di Gaza ‘mungkin’ jenayah perang.
“Kami belum melihat bukti bahawa bangunan yang menjadi sasaran IDF digunakan oleh Hamas seperti yang didakwa Israel,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Hamas yang menembak Israel dengan lebih 4,300 roket juga merupakan pelanggaran peraturan peperangan. –Agensi