GEORGE TOWN – Tindakan dua wanita melakukan rentas daerah bagi membeli emas di sebuah pusat beli belah di Bukit Jambul di sini mengundang padah apabila mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 semasa pemeriksaan polis hari ini.
Mereka yang datang dari daerah Barat Daya itu dilihat menangis ketika dihulurkan surat kompaun terbabit oleh pihak polis di sebuah kedai emas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita berusia 23 dan 58 tahun itu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain itu, seorang lelaki dan wanita turut disiasat kerana menggunakan alasan tidak tahu komplek beli-belah ini terletak dalam daerah lain.
“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana PKP sudah lebih setahun dikuatkuasakan dan orang ramai sepatutnya menjalani kehidupan norma baharu dengan mengambil tahu sempadan daerah masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika menyertai operasi bersepadu itu hari ini.
Operasi berkenaan turut disertai wakil Kementerian Kesihatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan beberapa agensi berkaitan.
Mengulas mengenai tinjauan itu, Soffian berkata, hampir kesemua pekerja dan penggunjung didapati mematuhi SOP ditetapkan.
“Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan rentas daerah sebanyak dua, tidak memakai pelitup muka (satu) dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera (enam),” katanya.
Dalam pada itu, Soffian berkata, sebanyak 95 kompaun berkaitan pematuhan SOP dikeluarkan pihaknya dalam tempoh sejak 10 Mei lalu sehingga semalam. – K! ONLINE