MANCHESTER – Penjaga gol Manchester United, David De Gea mampu menghadiahkan kejuaraan Liga Europa kepada gergasi Liga Perdana Inggeris itu jika dia mengikut setiap arahan nota sepakan penalti yang diberikan kepadanya.
De Gea, 30, mengikut arahan nota itu dalam lima sepakan penalti sebelum dia mengambil tindakan sebaliknya ketika sepakan keenam sewaktu aksi final menentang Villarreal di Arena Gdansk kelmarin.
Penjaga gol Sepanyol itu diarahkan kekal di bahagian tengah ketika pemain Villarreal, Moi Gomez mengambil sepakan penalti tetapi memilih untuk ‘terbang’ ke sebelah kirinya.
Bukan itu sahaja, Edinson Cavani juga dipercayai telah berbisik kepada De Gea memberitahu perkara berkenaan sebelum Gomez mengambil sepakan keenam Villarreal.
Gara-gara terlalu mengikut naluri dan enggan mengikuti arahan, De Gea gagal menyelamatkan sepakan Gomez sebelum dia juga gagal menyempurnakan penalti terakhir mengakibatkan United tewas 10-11 selepas terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit.
Bagaimanapun, hanya tiga daripada 10 pengambil sepakan penalti Villarreal melakukan sepakan mengikut nota yang diberikan kepada De Gea termasuk Gomez.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer enggan mengakui kesilapan strateginya menurunkan De Gea berbanding penjaga gol kedua, Dean Henderson yang mempunyai rekod lebih cemerlang apabila berhadapan situasi sepakan penalti.
“Saya ada terfikir sebelum perlawanan tamat tetapi kami yakin dengan kemampuan De Gea. Apa sahaja boleh terjadi dalam penentuan sepakan penalti, jadi saya pilih De Gea,” katanya. – AGENSI