fbpx

Dahulu elak, kini buru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

PENGUMUMAN tempahan slot suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) fasa kedua bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas yang dibuat kerajaan baru-baru ini di­sambut baik oleh warga Malaysia.

Orang ramai saling meng­i­ngatkan ahli keluarga dan rakan-rakan supaya bersedia dengan peranti masing-masing bermula pukul 12 tengah hari Rabu lalu untuk membuat tempahan slot.

Namun, sesi perebutan penuh cemas itu akhirnya bertukar menjadi sesi amarah apabila pengguna sukar mengakses beberapa butang ciri laman web Badan Bertindak Imunisasi Co­vid-19 (CITF) dan gagal membuat tempahan.

Penulis juga gagal membuat tempahan slot suntikan vaksin kerana tidak boleh menekan butang negeri.

Ketika membaca keluhan mereka yang sama-sama gagal, penulis turut terhibur membaca reaksi netizen menerusi ciapan di Twitter apabila ada yang meminta Shopee mengambil alih tempahan slot vaksin memandangkan mereka sebelum ini berjaya mengendalikan satu lagi sesi perebutan hebat negara iaitu item Sambal Nyet keluaran Khairul Amin.

CITF yang ambil maklum tentang gangguan teknikal tersebut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna yang gagal membuat tempahan.

“Pihak CITF memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Biarpun kecewa kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk divaksin, insiden merebut slot itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah tidak lagi takut dengan vaksin dan mahu segera disuntik bagi mencapai imuniti kelompok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Malina Osman berkata, rakyat Malaysia sememangnya sudah menerima baik keberkesanan vaksin.

“Maklum balas sambutan yang sangat menggalakkan terhadap pendaftaran vaksin AZ baru-baru ini menunjukkan ke­sedaran yang tinggi terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Prof. Malina menambah, biarpun pendaftaran vaksin diterima baik, masih ada lagi golongan antivaksin yang menyebarkan maklumat-maklumat palsu hingga menimbulkan keraguan pihak tertentu.

“Walaupun ramai yang tidak sabar divaksin, masih ada golo­ngan yang masih ragu-ragu tentang keberkesanan vaksin serta memilih-milih jenis vaksin, namun jumlah mereka adalah kecil.

“Pada saya, pihak berkuasa mungkin boleh ambil tindakan lebih tegas terhadap golongan ini yang bertanggungjawab menularkan berita palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi sidang media secara online kelmarin mengumumkan untuk memasukkan pemberian AZ dalam senarai vaksin arus perdana PICK.

“Kaedah tempahan ini dibuat selepas melihat wujud keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AZ di­sebabkan beberapa berita me­ngaitkannya dengan kes pembekuan darah, maka kaedah sukarela dilaksanakan.

“Bagaimanapun, selepas melihat sambutan memberangsangkan bagi kaedah optima vaksin itu, kita membuat keputusan bahawa pada bulan-bulan akan datang, kita tidak lagi laksanakan pemberian vaksin AstraZeneca secara optima sebaliknya kembali dimasukkan dalam senarai vaksin arus perdana PICK,” jelasnya.

Kata Khairy, sebanyak 956,609 tempahan untuk vaksin AZ telah berjaya dibuat menerusi fasa kedua yang berlangsung pada 26 Mei 2021.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI