MERAIH pelbagai pencapaian menerusi single debut bahasa Inggeris berjudul Dynamite pada tahun lalu, kumpulan popular BTS bukan sekali lagi bahkan untuk yang ke berapa kalinya mencatat rekod tersendiri dalam profil karier mereka.
Kembali menyapa khalayak, khususnya peminat menerusi lagu bahasa Inggeris kedua berjudul Butter pada 21 Mei lalu, BTS tidak hanya mengulangi kejayaan dari segi tontonan paling laju dalam masa 24 jam.
Bahkan, kumpulan dianggotai tujuh lelaki itu menempa pelbagai rekod baharu, antaranya sukses menjadi lagu hit dalam carta lagu terkenal Korea Selatan, Melon 24Hits.
Pengaruh kumpulan itu cukup mewangi dan bertebaran di serata dunia, sehinggakan populariti turut tertumpu di peringkat global, sekali gus memacu Butter memanjat tangga pertama carta iTunes di 101 buah negara.
Butter juga mendominasi penstriman dalam platform Spotify dengan lebih 11 juta pendengar sejak hari pertama diluncurkan. Itu pencapaian menakjubkan, sehinggakan rekod tersebut mengenepikan catatan yang pernah dipegang Ed Sheeran dan Justin Bieber sebelum ini.
Pendek kata, dalam masa 48 jam sahaja, lagu yang mendapat sentuhan daripada anggota BTS sendiri iaitu RM tersebut menyapu bersih carta lagu di negara sendiri, selain merajai platform digital muzik di seluruh dunia.
Peneman musim panas
“Kami berharap Butter akan menjadi lagu musim panas untuk tahun ini.
“Jadi, kami akan cuba melakukan yang terbaik, bekerja lebih keras untuk aktiviti promosi dan kerjaya seni,” ucap RM yang merupakan ketua kumpulan itu pada satu sidang akhbar di Seoul baru-baru ini.
Video muzik dan melodi lagu tersebut disifatkan peminat sebagai ‘nafas yang sangat diperlukan’ ketika menjalani musim panas tahun ini.
Suga yang merupakan rapper dalam kumpulan itu, bahkan mengakui kehidupan yang dilaluinya pada waktu pandemik memberi impak terhadap kerjayanya.
Dedahnya, dia banyak menghabiskan masa membelek kembali katalog muzik BTS untuk memahami pengaruh yang dibawa mereka kepada pendengar.
“Kebanyakan muzik yang saya dengar selama ini banyak berbicara tentang impian, harapan dan introspektif di tengah-tengah wujudnya perasaan putus asa.
“Kehidupan saya banyak dipengaruhi oleh muzik sebegitu dan itulah yang menjadikan diri saya pada hari ini.
Jadi, saya mahu memberikan pengaruh yang sama kepada pendengar di luar sana menerusi muzik kami,” katanya.
Anugerah tanpa henti
Sejak muncul dalam industri K-pop pada 2013, BTS jarang gagal membawa pulang anugerah, sekiranya tercalon dalam mana-mana acara berprestij, tidak kira lokal mahupun antarabangsa.
Terkini, BTS membuat para penggemar khususnya kumpulan peminat yang menggelarkan diri mereka Army berasa bangga apabila menggondol empat anugerah pada Anugerah Muzik Billboard 2021.
Berlangsung pada 23 Mei lalu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, acara berprestij berkenaan menyaksikan BTS membawa pulang kategori Top Duo/Group, Top Song Sales Artist, Top Social Artist (undian) dan Top Selling Song (Dynamite).
Apa lagi yang mahu dikatakan? Saban tahun, ada sahaja pencapaian diraih BTS memenuhi ruang simpanan trofi, sekali gus menjadi bukti bahawa kuasa dan populariti mereka gagal dipintas mana-mana kumpulan lain setakat ini.
Selain membawa pulang anugerah, pentas berprestij tempoh hari turut menyaksikan BTS mempersembahan lagu Butter secara langsung buat julung kali.
Mengakui cukup bersemangat dengan kesempatan memperkenalkan lagu berkenaan di pentas besar seperti Billboard, seorang anggotanya iaitu Suga menyifatkan persembahan pertama untuk setiap lagu baharu pastinya menjentik keterujaan dalam hati semua orang.
“Acara Anugerah Billboard sudah tentu merupakan pentas yang sangat signifikan, penting dan cukup bermakna buat kami,” katanya.
Sementara Jung-kook pula meluahkan rasa bangga kerana meskipun selepas setahun Dynamite dilancarkan, populariti lagu berkenaan masih kekal sehingga ke hari ini.
“Bukan perkara mudah untuk kami berjaya menerobos anugerah ini dengan empat kategori sekali gus. Ini satu penghargaan buat kami.
Lerpas Tetapi lagu Dynamite masih diterima ramai dan kami sangat gembira,” ujarnya.