KANGAR – Pusat perlindungan Bustana Kucing di sini memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan kira-kira 1,300 ekor kucing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengasasnya, Mohd. Taufik Md. Zain berkata, pihaknya memerlukan bekalan makanan, ubat-ubatan serta multivitamin bagi menguruskan kucing yang dihantar ke pusat perlindungan tersebut untuk dijaga.
Menurutnya, sumbangan yang diperoleh daripada pengunjung yang datang ke Bustana Kucing terputus selepas Taman Ular dan Reptilia Perlis di Sungai Batu Pahat di sini ditutup sepanjang PKP bermula 12 Mei lalu hingga 7 Jun depan.
“Keadaan itu menyebabkan dana bagi menguruskan kucing termasuk yang berpenyakit semakin berkurangan.
“Hal ini kerana sejak penutupan taman ular berkenaan, tiada lagi pengunjung yang berkunjung ke pusat penjagaan kucing tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.
Ujar beliau, pihaknya memerlukan 65 kilogram makanan kucing dianggarkan bernilai RM300 sehari atau RM9,000 sebulan.
“Bagi bekalan ubat, kami membelanjakan kira-kira RM2,500 sebulan, tidak termasuk kos bagi menggajikan 14 kakitangan bagi menguruskan semua kucing di sini.
“Sepanjang PKP ini, kami menerima kira-kira 10 ekor kucing sehari,” ujarnya.
Menurutnya, operasi Bustana Kucing masih dibuka seperti biasa dan orang ramai termasuk penyelamat kucing boleh menghantar haiwan gelandangan itu di sini.
“Kami tidak menetapkan sebarang bayaran khusus untuk menghantar atau mengambil kucing untuk dipelihara, sebaliknya ia bergantung kepada sumbangan ikhlas mereka,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5627 6842 3110 atas nama Bustana Kucing atau boleh melayari Facebook Bustana Kucing untuk maklumat lanjut.-K! ONLINE