fbpx

Warga emas dilibas parang terima lima jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahya menunjukkan dua jarinya yang cedera serta lokasi dia dilibas parang oleh suspek di Kampung Ulu Mahang, semalam.

KULIM – Seorang penduduk cedera dilibas parang ketika sedang mengawasi pintu pagar rumahnya daripada dimasuki lelaki disyaki penagih dadah yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Ulu Mahang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Yahya Abdullah, 72, cedera di dua jari pada kedua-dua belah tangannya dan terpaksa menerima lima jahitan di ibu jari tangan kanan.

Yahya nekad berdepan dengan suspek berusia 44 tahun itu kerana bimbang isterinya, Rokiah Taib, 72, yang berada di dalam rumah dicederakan.

Menurut Yahya, ketika kejadian dia berada di Pekan Mahang untuk membeli ikan dan barang dapur sebelum menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan ada orang mengamuk di depan rumah.

“Saya terus bergegas pulang dan masuk ke halaman rumah lalu menutup pintu pagar dengan suspek berada berhampiran sambil memegang kayu dan parang.

“Pada masa itu, sudah ada kira-kira 20 orang penduduk kampung dan dua anggota polis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia terus berada di depan pagar bagi memastikan suspek tidak masuk ke kawasan rumah sebelum suspek dilihat mengejar penduduk lain sebelum berhenti di hadapan rumahnya.

“Saya tanya kepada suspek hang pasai apa lalu lelaki itu berkata hang nak lawankah dan ketika itu saya sudah memegang sebatang rotan sepanjang 182 sentimeter jika berlaku apa-apa.

“Namun lelaki itu tiba-tiba menyerang dan saya menggunakan rotan itu untuk mempertahankan diri. Dalam pergelutan tersebut, libasan parang suspek terkena dua jari kedua-dua belah tangan saya,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki dipercayai penagih dadah mati ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Ulu Mahang di sini semalam. – K! ONLINE

-habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI