fbpx

Vaksin tingkat daya tahan tubuh bukan ubat kebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Peranan vaksin Covid-19 bukan seperti ubat kebal yang boleh memastikan seseorang tidak mendapat jangkitan sebaliknya ia bertujuan meningkatkan sistem daya tahan tubuh apabila berdepan wabak tersebut.

Ketua Unit Kawalan Infeksi, Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Sharifah Azura Salleh berkata, penerima vaksin yang dijangkiti Covid-19 tetap berpotensi menyebarkan wabak tersebut kepada individu lain kerana itu mereka masih perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Antara salah faham masyarakat ialah mereka menyangka vaksin itu bertindak seperti ubat yang merawat penyakit sedangkan ia bersifat mencegah.

“Begitupun, mereka yang pernah dijangkiti boleh mengambil vaksin dan ia akan bertindak seperti ‘booster’ yang akan meningkatkan antibodi tubuh untuk melawan penyakit tersebut pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, segelintir masyarakat percaya vaksin mengandungi kuman dan ia boleh bermutasi dalam tubuh penerima dan akhirnya mereka menjadi ejen penyebar koronavirus sedangkan jangkitan hanya boleh berpunca dari faktor luaran bukannya daripada vaksin itu sendiri kerana ia bukanlah kuman hidup yang boleh menyebarkan penyakit.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, vaksin sama ada mengandungi kuman, sebahagian kuman atau bahan genetik kuman berupaya merangsang penghasilan antibodi, sel imun dan sel memori terhadap kuman tersebut.

Beliau berkata, sel memori bertindak sebagai sebagai askar simpanan yang sentiasa bersedia untuk menyerang virus yang sama apabila berlaku jangkitan sebenar.

“Dengan adanya sel memori yang mengecam virus dengan tepat, antibodi dan sel imun akan dihasilkan dengan sangat pantas dalam kuantiti banyak sekali gus membantu menghapuskan kuman sebelum jangkitan teruk berlaku.

“Jika tidak divaksin dan tiada sel memori, tubuh memerlukan beberapa minggu untuk menghasilkan antibodi dan dalam tempoh menunggu antibodi dihasilkan, kuman boleh membiak dengan banyak sehingga menyebabkan jangkitan yang teruk,” jelasnya.

Nurul Azmawati berkata, ujian klinikal menunjukkan keberkesanan vaksin Covid-19 adalah sekitar 70 peratus hingga 95 peratus bergantung kepada jenis vaksin.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan kadar keberkesanan lebih 60 peratus sudah dikira cukup bagus untuk sesuatu vaksin.

“Memang masih ada kemungkinan untuk dijangkiti tetapi penerima vaksin sudah mempunyai sel memori dan antibodi yang mampu melawan virus penyebab Covid-19.

“Pendek kata vaksin tidak menyebabkan seseorang kebal kepada jangkitan tetapi vaksin menyebabkan badan kuat untuk melawan virus bagi mengelakkan kesan jangkitan yang lebih teruk,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI