JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ penuh secara bersasar bagi negeri bersempadan dikuatkuasakan bagi menangani peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri terbabit.
Titah Sultan Ibrahim, langkah itu dicadangkan agar ia dibuat tanpa menghentikan kegiatan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Saya mencadangkan ‘lockdown’ penuh secara bersasar dibuat mengikut negeri ataupun rantau.
“Contohnya zon selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu diikuti zon lain seperti di pantai timur seperti di Pahang, Terengganu, Kelantan,” titah baginda kepada Royal Press Office, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, negeri yang tidak dikenakan ‘lockdown’ boleh meneruskan kegiatan ekonomi di bawah peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kawasan masing-masing.
“Dengan ini, kita menangani bilangan kes tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya,” titah baginda.
“Sudah tidak terkata lagi kebimbangan dan ketakutan tentang situasi Covid-19 di negara kita. Saya mencadangkan perkara ini atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara kita.
“Saya harap ia akan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” titahnya. – K! ONLINE