NEW YORK – Sebuah aplikasi perkongsian rahsia dari Amerika Syarikat, Whisper mendedahkan bahawa ramai lelaki di seluruh dunia memasang impian untuk bergelar suami misali dengan cara masing-masing, lapor portal MailOnline hari ini.
Daripada sejumlah pendedahan di Whisper, ada antara lelaki yang mengaku lebih gemar menjaga anak-anak, menguruskan diri sendiri serta membuat kerja rumah berbanding keluar mencari nafkah untuk keluarga.
Malah ada juga antara mereka yang ingin merasai perasaan menjadi kebanggaan serta dimanjakan isteri.
“Wanita yang tahu kehendak sendiri adalah seksi. Jadi, impian saya adalah untuk menjadi seorang suami misali kepada wanita seperti itu.
“Saya tidak takut kepada wanita besi. Saya menghargai mereka,” tulis seorang lelaki pada hantarannya.
Ada juga lelaki yang mengaku ingin berkahwin dengan wanita berkerjaya yang hanya menggunakan dirinya sebagai tempat untuk memuaskan nafsu.
Sebilangan lagi lelaki berpendapat, jika isterinya mempunyai gaji yang lebih tinggi daripadanya, dia rela untuk menjadi suri rumahtangga. – AGENSI