KLANG – Kecekapan Pasukan Gerakan Am ( PGA ) berjaya menahan 35 pendatang asing tanpa izin ( PATI ) Indonesia dalam dua siri cubaan memasuki negara ini bermula semalam.
Kesemua PATI termasuk kanak-kanak perempuan berusia setahun hingga 50 tahun itu ditangkap di Jalan Sungai Serdang, Kapar dan berhampiran kolam udang Assam Jawa, Kuala Selangor.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, siasatan mendapati mereka berlepas dari Batu Bara Medan dan Tanjung Balai di Indonesia.
Katanya, jarak perjalanan mereka menuju negara ini mengambil masa hampir 12 jam.
Mereka ditahan di antara pukul 6.30 pagi semalam dan 9 pagi hari ini.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan memasuki negara ini menerusi menggunakan bot di laluan yang tidak diwartakan.
“Mereka mengakui membayar antara RM1,000 hingga RM1,500 setiap seorang untuk menyeludup masuk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu hasil siasatan awal mereka akan bekerja sebagai pengasuh, kerja kontrak dan di ladang kelapa sawit.
Rizal menegaskan PATI tersebut telah dibawa ke Balai Polis Kapar dan Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – K!ONLINE